PPR bantu penuhi permintaan serta keperluan perumahan bagi kumpulan berpendapatan rendah
PPR bantu penuhi permintaan serta keperluan perumahan bagi kumpulan berpendapatan rendah
Nurul Husna Mahmud


MENERUSI Dasar Perumahan Negara (DRN), Program Perumahan Rakyat (PPR) dibentuk sebagai teras utama berdasarkan Teras 1 DRN iaitu penyediaan rumah mencukupi mengikut keperluan khusus golongan yang memerlukannya.

Menurut Pensyarah Program Pengurusan Harta Tanah dan Perlelongan, Fakulti Perniagaan, Universiti Malaya-Wales (dulu dikenali sebagai IUMW) Professor Sr Dr Noor Rosly Hanif yang melihat kerajaan komited mencapai sasaran setinggan sifar dan memperkasakan golongan B40 memiliki rumah.

"PPR ialah program Kerajaan Persekutuan bagi penempatan semula setinggan sehingga tercapai dasar setinggan sifar dan memenuhi permintaan serta keperluan perumahan bagi kumpulan berpendapatan rendah B40.

"Jabatan Perumahan Negara (JPN) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah agensi utama dalam melaksanakan agenda pembangunan projek PPR di seluruh Malaysia.

"Projek PPR ini terdiri daripada dua kategori sama ada disewakan dan dimiliki. Semua rumah PPR yang dibina menggunakan spesifikasi perancangan dan reka bentuk perumahan kos rendah juga perlu mematuhi standard perumahan kebangsaan bagi perumahan kos rendah rumah pangsa (CIS2)," katanya.

Tambah Dr Noor Rosly, sejarah pembangunan perumahan negara yang panjang juga semakin matang dalam menentukan penawaran hartanah sesuai untuk keperluan rakyat termasuk kos rendah menerusi PPR.

"Evolusi pembangunan kepada polisi perumahan di Malaysia dibahagikan kepada lima fasa berdasarkan fasa pembangunan negara.

"Fasa pertama ialah polisi perumahan awal kemerdekaan (1957 hingga 1970), perumahan untuk atasi kemiskinan (1970 hingga 1985), perumahan terfokus (1986 hingga 1997), perumahan untuk dasar setinggan sifar (1998 hingga 2011) dan perumahan mampu milik (2012 hingga kini).

"Setiap fasa polisi pembangunan perumahan berkait rapat dengan keadaan sosial, politik dan ekonomi negara sejak kemerdekaan. Ini menyebabkan polisi dan program perumahan yang diformulasikan di Malaysia unik dan mengikut kesesuaian serta kehendak negara," katanya.

Sejak DRN digubal bermula 1996, beberapa PPR diperkenalkan dengan 25 peruntukan sebanyak RM224.68 juta.

Merujuk kepada satu kajian sehingga 1998, sebanyak tujuh projek PPR siap dibina dengan jumlah 5,297 unit kediaman. KPKT mulai Rancangan Malaysia ke 8 (RMK-8) dan Rancangan Malaysia ke 9 (RMK-9), JPN juga membina 76,296 rumah di bawah PPR disewa dan 3,030 rumah di bawah program PPR dimiliki.

JPN giat meneruskan pembinaan perumahan PPR ini lagi sehingga kini bagi mencapai matlamat yang disasarkan dalam setiap lima tahun Rancangan Malaysia dan kini di bawah RMK12.

Unit perumahan PPR dimiliki dibina dijual pada harga RM35,000 seunit di Semenanjung dan RM42,000 seunit di Sabah dan Sarawak.

Perumahan ini dibina dengan keluasan setiap unit tidak kurang daripada 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, satu ruang tamu, satu dapur dan dua tandas.

Kemudahan asas yang disediakan termasuk dewan komuniti, surau, gerai dan ruang niaga, tadika, kemudahan orang kurang upaya (OKU), taman permainan dan kawasan hijau, rumah sampah dan parkir. Kadar sewa yang dikenakan terhadap penghuni pada masa ini adalah pada tahap yang minimum iaitu sebanyak RM124 sebulan.

Kata pakar perumahan itu, dengan keluasan minimum 700 kaki persegi selesa untuk piawaian standard isi rumah negara bagi jumlah penghuni empat hingga lima orang seunit.

"Berdasarkan keluasan rumah PPR ketika ini adalah merujuk kepada keperluan pasangan atau keluarga untuk dua hingga tiga anak. Kami tidak mempunyai data terkini mengenai jumlah anak bagi pasangan B40, tetapi kemungkinan majoriti pasangan mempunyai lebih daripada tiga anak adalah tinggi.

"Dalam keadaan sedemikian ada cadangan supaya keluasan unit PPR ini dinaikkan kepada 1,000 kaki persegi, tetapi sehingga kini belum dilaksanakan kerana ia membabitkan isu kos tinggi dan mengenal pasti jumlah unit yang perlu untuk keluasan sebegitu.

"Antara isu lain dalam pembangunan fasiliti PPR seperti surau atau tadika perlu berasingan atas faktor keselamatan.

"Reka bentuk monotonus atau serupa juga membuatkan perumahan PPR kelihatan tidak menarik dan cat bangunan cepat pudar pula membuatkan ia kelihatan kotor. Isu parkir juga menjadikan persekitaran PPR tidak selesa," katanya.

Usaha kerajaan berterusan memberi fokus menaik taraf PPR berdasarkan pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini dalam agenda program Kita Untuk Kita (K2K) adalah pendekatan wajar dalam memberi impak positif.

"Menaik taraf hidup komuniti bukan hanya untuk memastikan fasiliti yang ada berfungsi dan disenggara dengan baik, tetapi juga perlu dipertingkatkan mengikut arus zaman dan teknologi semasa.

"Selain itu, sikap komuniti itu sendiri perlu digarap untuk turut berubah menjadi masyarakat Madani. Inisiatif yang diumumkan perdana menteri bagi membina kapasiti dan memperkasa peranan komuniti untuk menggalas tanggungjawab bersama terkait hal pengurusan bangunan dan persekitaran serta pengisian di kawasan perumahan awam adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan.

"Komuniti perlu diasuh dan dididik dengan ilmu dengan diadakan perancangan untuk ada kelas seperti yang dibuat di Korea Selatan. Perhebatkan juga program berkaitan kehidupan kejiranan, tanggungjawab setiap penghuni mengikut umur dan lain-lain lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 7:00 AM