ACRYL Sani Abdullah Sani. FOTO NSTP
ACRYL Sani Abdullah Sani. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan dalaman terhadap anggotanya yang ditahan kerana disyaki menyeludup mercun dengan menyalahgunakan kenderaan pasukan di luar waktu bertugas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat bukti sebarang perlakuan demikian.

"Kes yang dilaporkan sudah diambil tindakan di mana suspek, seorang lans koperal polis ditahan oleh PDRM bersama seorang lelaki awam kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran mercun.

"Selain siasatan jenayah, PDRM juga akan mengambil tindakan dalaman ke atas anggota berkenaan yang didapati menyalahgunakan kenderaan pasukan di luar waktu bertugas bagi menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Acryl Sani berkata, pihaknya tidak pernah berkompromi dengan mana-mana warga polis yang terbabit dengan jenayah termasuk kes dihadapi anggota berkenaan yang dipercayai dalang penyeludupan mercun.

"Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula 5 April lalu hingga esok, sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"PDRM juga mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan maklumat sahih bagi membolehkan tindakan diambil dalam membanteras sebarang salah laku atau aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan anggota polis berpangkat lans koperal ditahan selepas dipercayai menjadi 'dalang' sindiket penyeludupan mercun ke negara ini.

Lebih mengejutkan apabila suspek berusia 30-an turut menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik PDRM untuk membawa mercun diseludup dari Kelantan.

Difahamkan, suspek berkhidmat di cawangan pengangkutan di Terengganu dan dia ditahan hasil risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) terhadap aktiviti penyeludupan mercun sempena Aidilfitri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 1:19 PM