BERNAMA

Kuala Lumpur: Masalah kesuburan kaum lelaki di negara ini berada pada tahap membimbangkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu memaklumkan Dewan Negara semalam, fakta itu berdasarkan data ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN) yang mendapati sebanyak 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

"Perkara berkenaan secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin di Malaysia.

"Pada masa yang sama kadar kelahiran di negara kita juga menunjukkan trend penurunan sejak 40 tahun lalu dan ia berkait rapat dengan kadar kesuburan dengan data 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan 1.7 orang anak bagi setiap wanita berkahwin," katanya.

Aiman Athirah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkaitan tindakan kementerian dalam menghadapi penurunan kadar kelahiran di negara ini, pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, tadi.

Katanya, sebagai langkah produktif kerajaan sudah mewujudkan Klinik Kesejahteraan Lelaki yang mula beroperasi Oktober tahun lalu di Klinik Subfertiliti LPPKN di ibu negara dan akan diperluas ke enam lagi Klinik LPPKN di seluruh Semenanjung dan Sarawak tahun ini.

"Klinik ini menawarkan perkhidmatan ujian saringan kesihatan lelaki, khidmat nasihat masalah seksual dan amalan hidup sihat serta rawatan ubatan untuk meningkatkan kesuburan.

"Dalam usaha bantu pasangan berkahwin tangani masalah kesuburan, LPPKN ada menawarkan rawatan kesuburan sejak 1979 … di Zon Utara iaitu Klinik Subfertiliti Pulau Pinang, Zon Tengah di Klinik Subfertiliti di Kuala Lumpur dan untuk Zon Selatan (Klinik Subfertiliti) di Johor," katanya.

Beliau berkata inisiatif rawatan di fasiliti LPPKN itu sehingga kini berjaya mencatat 6,000 kehamilan dan 4,000 kelahiran yang disifatkan satu pencapaian setanding pusat rawatan kesuburan antarabangsa.

Katanya, antara faktor menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan rakyat ialah perubahan gaya hidup dan kos sara hidup tinggi sehingga pasangan mengambil keputusan mengehadkan jumlah anak, peningkatan bilangan wanita berpendidikan, penyertaan wanita dalam tenaga buruh selain lewat berkahwin sehingga memendekkan usia reproduktif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 1:05 PM