AB Rauf ketika ditemui selepas melakukan imbasan perakam waktu pada hari pertama memasuki Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri. FOTO Amir Mamat
AB Rauf ketika ditemui selepas melakukan imbasan perakam waktu pada hari pertama memasuki Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

Ayer Keroh: Barisan anggota Exco Melaka yang baharu akan mengangkat sumpah jawatan, Rabu ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, istiadat berkenaan akan diadakan sejurus kepulangan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dari luar negara, esok.

Beliau berkata, senarai nama calon Exco negeri sudah dipersetujui oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam, dan akan dipersembahkan kepada Mohd Ali.

"Senarai Exco sudah lengkap dan istiadat mengangkat sumpah akan diadakan sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Melaka pada sebelah petang, Rabu ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan imbasan perakam waktu pada hari pertama memasuki Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, pembentukan Exco Melaka harus menggambarkan komposisi parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan selain beberapa jawatan Timbalan Exco akan diwujudkan semula.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, komposisi portfolio Exco antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional dan Pakatan Harapan diyakini mampu mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, semua portfolio cantik dan menarik, (justeru) komposisinya nanti saya akan beritahu (senarai baharu), kalau beritahu sekarang tak seronok.

"Barisan baharu ini adalah untuk mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri dan mengambil pendekatan apa yang sedang dilaksanakan di peringkat Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara berkata, fokus utamanya ketika ini adalah meneruskan agenda pembangunan negeri bagi memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat di bawah kerajaan perpaduan dapat diteruskan.

"Pastinya semua agenda yang dirancang dahulu akan diteruskan dan akan dilihat serta dikaji bagi penambahbaikan untuk kemakmuran dan kesejahteraan negeri serta rakyat Melaka khususnya.

"Jadi, pelan pembangunan Melaka juga akan saya lihat bagaimana penjanaan pembangunan dapat memberi faedah dan sudah pasti gandingan barisan pengurusan kerajaan negeri yang sedia ada akan dapat bersama-sama saya untuk memajukan negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 11:52 AM