Muhammad Rafieudin Zainal Rasid
Muhammad Rafieudin Zainal Rasid
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sungguhpun mengubah jantina jelas dilaknati Allah SWT, namun tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang tidak pernah menolak taubat hamba-Nya.

Pendakwah bebas yang juga Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata apa yang penting seseorang yang melakukan maksiat dan kemungkaran besar maka perlu segera bertaubat.

"Sebagaimana 'pujukan' Allah kepada pendosa menerusi firman dalam Surah Az-Zumar ayat 53: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari Rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

"Maka untuk menjadi Muslim yang baik kembalilah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat dan jangan sesekali mengulangi perkara maksiat yang dilakukan sebelum ini," katanya.

Beliau mengulas usahawan kontroversi kelahiran Malaysia yang kini sudah menetap di Australia, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat, 38, menyatakan dia tetap Islam walaupun mak nyah.

"Aku tetap Islam walaupun mak nyah. Aku tidak menduakan agama aku. Jangan kau mudah jatuhkan hukum mengenai siapa aku." Demikian jawapan ringkas Sajat menerusi ruangan komen di media sosial, meskipun dia sudah menukar jantina daripada lelaki kepada wanita, namun dia masih lagi beragama Islam.

Mengulas lanjut mengenainya, Muhammad Rafieudin berkata Allah SWT tidak sesekali menzalimi hamba-Nya dan pasti setiap perbuatan akan diberi balasan yang setimpal.

"Ia adalah hak Allah untuk menerima atau menolak setiap amalan hamba-Nya kerana Allah sangat Maha Adil dalam membuat keputusan.

"Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

"Firman Allah SWT, Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa (Ali Imran:133)," katanya.

Apa pun katanya, seseorang yang berdosa dan melakukan kemungkaran yang besar hendaklah bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala larangan-Nya sekiranya ingin menjadi hamba yang diredhai Allah SWT.

Selain itu, katanya pendosa perlu berusaha untuk memperbaiki akhlaknya supaya menjadi hamba yang diredhai Allah SWT.

Bagaimanapun Muhammad Rafieudin berkata adalah haram untuk Sajat menyertai saf lelaki dan wanita ketika solat jemaah dalam keadaan dirinya sekarang sehingga dia menukar perwatakannya seperti seorang lelaki mengikut jantina ketika dilahirkan supaya tidak menimbulkan fitnah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 4:33 PM