MASYARAKAT harus bersedia menghulurkan bantuan dan bimbingan serta menjauhi sifat menghukum.
MASYARAKAT harus bersedia menghulurkan bantuan dan bimbingan serta menjauhi sifat menghukum.
Datuk Mohd Ajib Ismail

JAUH di lubuk hati setiap manusia menyimpan hasrat dan cita-cita untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam kehidupan. Perasaan menyesal di atas perbuatan buruk yang dilakukan serta keinginan memperbaiki diri adalah tanda iman yang masih wujud dalam hati dan sanubari. Faktor yang mendorong seseorang melakukan perubahan pula berbeza-beza bergantung kepada keadaan diri masing-masing. Hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT juga hadir dalam pelbagai bentuk, cara dan asbab sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Baru-baru ini tular video tentang seorang wanita yang memeluk Islam dan meminta untuk diajarkan dua kalimah syahadah kepadanya sebelum ditidurkan akibat jangkitan wabak Covid-19 di salah sebuah hospital di Sabah. Justeru, sebahagian manusia terdetik dalam dirinya untuk melakukan perubahan kerana sering menerima ajakan dan mendengar peringatan yang disampaikan. Sebahagian pula disebabkan telah melalui pelbagai peristiwa hitam, pengalaman pahit dan ujian getir dalam kehidupan. Sebahagian lagi disebabkan kurniaan rezeki dan nikmat yang melimpah ruah diberikan oleh Allah SWT kepadanya mengingatkan dia tentang tanggungjawab kepada pencipta. Walau apapun asbab yang mendorong sesuatu perubahan, ketahuilah sesungguhnya Allah amat menyukai hamba yang kembali mendekatkan diri kepada-Nya seperti firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): 'sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)'; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahku), dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul."

Mengapakah manusia perlu melakukan perubahan ke arah kebaikan? Di dalam kehidupan ada dua jalan yang perlu dipilih sama ada jalan kebenaran atau jalan kebatilan. Firman Allah dalam surah Asy-Syams ayat 7-10 bermaksud: "Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)."

Walaupun manusia diberikan kebebasan untuk menentukan jalan hidup masing-masing, Allah SWT telah memberikan petunjuk yang jelas untuk kita membuat pilihan yang sebenar. Memilih jalan hidup yang benar dengan melakukan perubahan ke arah kebaikan adalah memenuhi tanggungjawab dan kewajiban agar menjadi Muslim yang baik melalui ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT. Hanya dengan pilihan yang tepat dapat menyelamatkan kita pada Hari Akhirat kelak.

Walaupun manusia sering melakukan kesilapan berulang kali dalam hidupnya, namun sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan ialah yang bertaubat dan memohon ampun kepada Allah pada setiap masa. Allah SWT menggambarkan situasi tersebut dalam al-Quran surah al-A'raf ayat 23 yang bermaksud: 'Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang rugi."

Kembali ke jalan yang benar berlandaskan syariat harus diusahakan meskipun dipenuhi pelbagai kesukaran, cabaran dan rintangan. Walaupun kadangkala rebah dan tewas dalam usaha tersebut, janganlah mudah mengalah dan berputus asa demi mengharapkan keredaan Allah SWT. Masyarakat juga harus bersedia menghulurkan bantuan dan bimbingan serta menjauhi sifat menghukum, melemparkan tuduhan dan kata-kata sindiran kerana perkara tersebut tidak membantu dalam usaha perubahan. Firman Allah di dalam al-Quran surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." Setiap anggota masyarakat seperti keluarga, jiran tetangga, saudara-mara dan rakan taulan harus bersedia menjadi pembimbing, memberikan nasihat serta mendoakan kebaikan.

Usaha melakukan perubahan ke arah kebaikan merupakan sebuah jihad yang pasti diganjari pahala oleh Allah SWT. Perubahan yang terbaik adalah yang konsisten dan istiqamah walaupun sedikit dan beransur-ansur. Bagi memastikan seseorang istiqamah dalam kebaikan, perbetulkanlah niat untuk melakukan perubahan semata-mata kerana Allah. Kemudian disusuli dengan menggantikan perbuatan dosa dan keburukan dengan amalan yang diperintahkan serta menjauhi persekitaran yang boleh mendorong kepada perlakuan lama. Carilah persekitaran yang baik seperti rakan-rakan dan aktiviti atau program yang boleh membantu kita mengekalkan perubahan tersebut agar berpanjangan. 

Akhir-akhir ini kita sering mendengar kisah tentang penghijrahan dalam kalangan artis dan selebriti terkenal yang mendekatkan diri dengan program keagamaan dan dakwah. Fenomena tersebut menyuntik azam dan semangat kepada kita semua supaya tidak berputus asa dalam memperbaiki diri menjadi Muslim yang lebih baik. Marilah kita berdoa dan berusaha agar segala perubahan kebaikan tersebut berkekalan. Hayatilah firman Allah dalam surah al-Zumar ayat 53 yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:59 AM