GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Bekalan darah bagi kegunaan hospital di Kedah berada pada tahap kritikal berikutan dijangka mampu bertahan untuk tempoh kira-kira empat hari lagi.

Ketua Perkhidmatan Transfusi Kedah, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir berkata, jumlah pendermaan darah menurun antara 30 hingga 40 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilaksanakan 1 Jun lalu.

"Penurunan kutipan darah itu berkemungkinan disebabkan oleh sekatan pergerakan dan kurangnya penderma di lokasi pendermaan kerana bimbang dengan peningkatan kes positif Covid-19 di Kedah sejak akhir ini.

"Bekalan darah sedia ada tidak akan mampu bertahan sekiranya kurangnya penderma tampil untuk menderma," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Siti Nadiah berkata, walaupun pembedahan elektif ditangguhkan pada waktu ini, namun penggunaan darah masih tinggi kerana banyak kes yang memerlukan bekalan darah seperti kemalangan jalan raya.

Selain itu, katanya, darah diperlukan untuk kes pesakit yang perlu menjalani pembedahan kecemasan, separa kecemasan dan ibu tumpah darah semasa bersalin.

"Terdapat juga pesakit yang memerlukan bekalan darah berterusan seperti pesakit talasemia dan anemia kronik.

"Jadi, saya menyeru orang ramai agar tampil menderma darah dengan segera bagi memastikan perawatan kepada pesakit yang memerlukan transfusi darah tidak terjejas," katanya.

Dr Siti Nadiah, berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana Unit Pendermaan Darah sentiasa mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 iaitu mewajibkan pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan memastikan tidak berlaku kesesakan di tempat menderma.

Katanya, orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran pergerakan kepada penderma darah untuk pergi ke lokasi pendermaan di daerah yang sama.

"Syarat untuk menderma ialah berusia 17 hingga 60 tahun, mempunyai berat 45 kilogram ke atas, tidur melebihi lima jam dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

"Bagi yang sudah mendapat vaksinasi Covid-19, mereka boleh menderma darah semula selepas tujuh hari sekiranya tidak mempunyai sebarang gejala," katanya.

Orang ramai yang berminat boleh hadir ke Unit Pendermaan Darah Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan hospital seluruh Kedah atau menghubungi talian di 04-7746051 pada hari bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 3:34 PM