Juwan Riduan

Ranau: Penginapan guru, pelajar dan surau milik Sekolah Tahfiz Bidayahtul Hidayah, Kampung Kundasang Lama, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila guru serta pelajar sempat keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.27 petang, dan seramai 12 anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, didapati penginapan guru, pelajar dan surau milik sekolah Tahfiz Bidayahtul Hidayah jenis separuh kekal sedang terbakar dengan usaha mengawal api terus dilakukan.

"Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air terbuka daripada sungai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, laluan masuk ke lokasi yang sempit menyebabkan jentera tidak dapat masuk sehingga ke lokasi kebakaran, sekali gus menyukar operasi pemadaman.

"Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus penginapan guru, pelajar dan surau. Operasi dilaporkan terkawal pada 5.30 petang dan ditamatkan pada 7.27 malam.

"Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya.

PASUKAN bomba memadam kebakaran membabitkan penginapan dan surau sekolah tahfiz di Kundasang. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN bomba memadam kebakaran membabitkan penginapan dan surau sekolah tahfiz di Kundasang. FOTO Ihsan Bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 10:14 PM