BOMBA memadam kebakaran di asrama lelaki SMK Tongod. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran di asrama lelaki SMK Tongod. FOTO Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


Tongod: Seramai 103 pelajar dan seorang warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tongod, dekat Kinabatangan, terpaksa menginap di surau sekolah selepas asrama lelaki sekolah itu terbabit dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kebakaran membabitkan bilik suis tingkat satu dan dua manakala katil serta tilam simpanan hangus terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.35 pagi lalu bergegas ke lokasi sejauh 50 kilometer itu bersama tujuh anggota bomba.

"Operasi pemadaman tamat pada jam 3.16 petang. Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nurul Azlan berkata, ketika kejadian pelajar berada di asrama dan mereka segera melarikan diri ke tempat selamat sejurus kebakaran.

Difahamkan, barangan pelajar tidak terjejas namun asrama belum dapat digunakan kerana faktor keselamatan dan tiada bekalan elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 10:07 PM