Dr Ahmad Atiq meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh malam semalam akibat pendarahan otak selepas koma sejak Jumaat lalu. FOTO ihsan IKRAM Perak
Dr Ahmad Atiq meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh malam semalam akibat pendarahan otak selepas koma sejak Jumaat lalu. FOTO ihsan IKRAM Perak
Balqis Jazimah Zahari


PELAJAR terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2003, Dr Ahmad Atiq Abdul Hamid, 31, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh malam semalam akibat pendarahan otak selepas koma sejak Jumaat lalu.

Jenazah Dr Ahmad Atiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Meru Raya Ipoh selepas Zohor hari ini.

Allahyarham meninggal dunia pada 10.10 malam di sisi ahli keluarga.

Allahyarham yang bertugas di Klinik Kesihatan Karai, Kuala Kangsar, mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Klang, Selangor, dan muncul pelajar terbaik SPM selepas memperoleh keputusan 15A pada 2003

Graduan University of Nottingham, United Kingdom itu juga adalah Presiden Ikram Health Perak dan aktif dalam aktiviti dakwah serta membantu masyarakat.

Allahyarham meninggalkan isteri, Dr Mai Shahira Meor Hazizi serta dua anak.

Dr Mai Shahira berkata, suaminya mengadu sakit kepala yang teruk pada kira-kira jam 3 pagi Jumaat lalu.

"Suami kemudian mengalami muntah-muntah disusuli matanya tidak dapat melihat dan dikejarkan ke hospital," katanya ketika dihubungi malam ini.

Menurutnya, arwah sebelum ini memang menghidapi penyakit berkaitan salur darah dalam otak.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) Perak, Yahanis Yahya, ketika dihubungi berkata, jenazah disembahyangkan selepas solat Zohor di Masjid Al-Muttaqin Taman Meru, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan petang tadi.

Katanya, dia sempat menziarah Dr Ahmad Atiq ketika dirawat di hospital dan arwah ketika masih tidak sedarkan diri.

"Pemergian arwah kehilangan besar bagi warga IKRAM kerana Dr Ahmad Atiq aktif dalam khidmat masyarakat.

"Arwah juga meminati Bahasa Arab dan tulisan Jawi. Dia sudah bersama IKRAM sejak belajar lagi.

"Saya serta warga IKRAM khususnya IKRAM Perak mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 10:49 PM