GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang wanita kerugian RM648,800 selepas menjadi mangsa Love Scam daripada lelaki yang dikenalinya menerusi panggilan antarabangsa.

Mangsa yang juga pengurus sebuah syarikat insurans mengenali lelaki terbabit pada Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 40 tahun diminta lelaki terbabit supaya melabur dengan memuat turun aplikasi bitcoin.

"Mangsa yang terpedaya dengan pujukan lelaki berkenaan kemudian memasukkan wang sebanyak RM1,000 ke dalam satu akaun yang diberi suspek dan memperoleh keuntungan sebanyak RM800.

"Tertarik dengan keuntungan yang diterima, mangsa kemudian memindahkan wang sebanyak 31 kali ke dalam lapan akaun, berjumlah RM648,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mangsa mula curiga apabila semua wang pelaburannya tidak lagi memperoleh keuntungan sebelum tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 9:25 PM