DUA cedera apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka merempuh sebuah premis kedai makanan di Jalan Bandar Timah. FOTO Tular
DUA cedera apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka merempuh sebuah premis kedai makanan di Jalan Bandar Timah. FOTO Tular
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Dua individu cedera apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka merempuh masuk sebuah premis kedai makanan di Jalan Bandar Timah di sini, malam tadi.

Kejadian 9.52 malam itu mengakibatkan pemandu Proton X50 itu iaitu seorang wanita berumur 50-an mengalami lebam di dahi, manakala seorang lelaki berumur 60-an yang berada di tempat duduk penumpang mengalami luka di muka serta bahagian kiri badan dan dirawat di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, bagaimanapun, kejadian berlaku sewaktu premis terbabit tidak menjalankan operasi perniagaan.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu yang tersilap tekan pedal minyak semasa ingin parkir, mengakibatkan kenderaan itu terus naik atas pembahagi jalan di kaki lima deretan kedai seterusnya masuk ke dalam kedai.

"Setelah penumpangnya turun dari SUV itu, pemandunya tersilap tekan pedal minyak terus naik atas 'divider' kaki lima deretan kedai dan melanggar masuk ke dalam kedai yang tidak menjalankan perniagaan pada ketika itu.

"SUV berkenaan mengalami kerosakan 'bampar' depan tertanggal, bonet depan kemek, selain cermin besar hadapan pecah," katanya sewaktu dihubungi.

Yahaya berkata lagi, SUV terbabit dinaiki lima sekeluarga yang datang dari Selangor untuk makan angin di Ipoh, dan kejadian berlaku selepas mereka sekeluarga selesai menikmati makan malam.

Menurutnya lagi, tiada tangkapan bagi kes ini dan kes diklasifikasi mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 9:39 AM