Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memperhalusi cadangan meletak pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di agensi itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan untuk meletakkan pegawai SPRM itu adalah bagi membuktikan komitmen Mara mempunyai integriti dan tadbir urus terbaik.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan bersama Tan Sri Muhammad Ibrahim yang juga Ahli Majlis Mara untuk diperhalusi.

"Perkara ini kita akan bincang dalam mesyuarat majlis minggu hadapan.

"Ini membuktikan komitmen kita untuk pastikan integriti dan tadbir urus yang baik.

"Mara ada agenda yang lebih besar daripada itu, jadi asas-asas ini perlu dibina daripada sekarang," katanya pada majlis berbuka puasa Mara bersama media di ibu negara semalam.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Sementara itu, Asyraf turut memberikan jaminan untuk sedaya upaya mengelakkan ketirisan, kebocoran dan salah guna kuasa di pelbagai peringkat agensi berkenaan.

Beliau berkata, ia bagi memastikan Mara terus cemerlang, selari dengan motonya iaitu merakyatkan Mara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 12:40 AM