GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa saksi berhubung isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, fokusnya adalah untuk mengumpul keterangan saksi berhubung laporan diterima SPRM mengenai salah guna kuasa kononnya terdapat pegawai agensi itu menyalahguna kedudukan.

Menurutnya, SPRM akan menyiasat dakwaan bahawa ada pegawai Mara salah guna kedudukan yang didakwa untuk mendapatkan elaun dan sebagainya.

"Berdasarkan laporan yang kami terima, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, maknanya kesalahan yang dilakukan oleh seorang pegawai badan awam iaitu salah guna kuasa untuk faedah diri sendiri.

"Saya fikir paling lewat esok kita akan mula memanggil saksi-saksi (untuk membantu siasatan berkenaan)," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau tidak menjelaskan siapa yang akan dipanggil namun memberitahu berdasarkan pengalamannya dua pihak penting untuk pembuktian kes adalah setiausaha syarikat dan pegawai akaun.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan secara telus dan sekiranya tiada kes pihak SPRM akan memaklumkan bahawa ia tiada isu.

"Jika saya menyiasat, kes macam ini orang pertama yang akan saya panggil adalah setiausaha syarikat yang menguruskan mesyuarat.

"Kalau keputusan minit mesyuarat membenarkan atau tidak atau pun tidak tahu langsung, ia akan dicatatkan dalam minit mesyuarat.

"Yang kedua daripada bahagian pentadbiran yang uruskan pembayaran, pelantikan dan sebagainya. Tentunya pegawai akaun juga akan dipanggil. Dua tempat ini sangat penting," katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya SPRM akan memanggil saksi untuk pihak yang berkenaan menunjukkan pembuktian seperti bukti pembayaran serta yang berkaitan.

Semalam, SPRM menyerbu pejabat Mara, Mara Corporation dan pejabat setiausaha syarikat kepada Mara Corporation.

Seramai 11 pegawai SPRM dilihat memasuki bangunan Mara pada 10.30 pagi bagi mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan isu integriti pegawai kanan agensi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 6:30 PM