Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Cadangan untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar masih lagi di peringkat kajian.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar kepada kumpulan T20 bukanlah perkara baru dan ia bagi memenuhi tuntutan dan harapan masyarakat terhadap MRSM cukup tinggi.

"Idea MRSM berbayar bukan idea baru. Ia sudah di dalam kajian kita dan apabila saya melihat bahawa tuntutan dan harapan masyarakat kepada MRSM terlalu tinggi.

"Tahun ini sahaja, seramai 90,000 yang memohon (ke MRSM), tempatnya (kekosongan) 7,100.

"Jadi itu sahaja boleh menunjukkan. Kita tak boleh hanya fokus kepada yang B40, M40, T20 sahaja.

"Apa pun, matlamat Mara itu kita jaga. Sebab itu kita pastikan adanya 60 peratus sekurang-kurangnya dalam kalangan B40 dan selebihnya ada tambahan M40 dan T20," katanya dalam sesi soal jawab bersama media dan majlis berbuka puasa di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan cadangan mewujudkan MRSM berbayar kepada golongan berkemampuan tidak akan membabitkan peruntukan kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan berkata, pelan futuristik yang sedang disusun atur Mara itu akan menggunakan kaedah inisiatif pembiayaan swasta (PFI) serta kerjasama dengan institusi kewangan.

Beliau juga memberikan jaminan MRSM berbayar berkenaan tidak akan didirikan di atas tanah Mara yang dikhususkan untuk manfaatkan rakyat miskin.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, cadangan untuk mewujudkan MRSM berbayar adalah berpaksikan kepada realiti kehidupan.

"Sebab apa yang paling penting kita tak mahu anak-anak kita ini berada di sekolah yang terpisah daripada realiti masyarakat sebenar.

"Realiti kehidupan di luar, kita bukan sahaja hidup dalam kalangan B40 sahaja, M40 sahaja atau pun T20 sahaja," katanya.Asyraf turut menafikan dakwaan nakal yang menyifatkan MRSM kini dikuasai oleh golongan elit.

Sebaliknya beliau berkata, data menunjukkan MRSM masih berada pada asas penubuhannya untuk membantu orang Melayu.

"Untuk menjawab sesetengah persepsi nakal yang mengatakan seolah-olah MRSM hari ini didominasi oleh golongan elit, golongan kaya T20, itu tidak benar.

"Saya membuat komen berasaskan data yang ada dalam MRSM dan juga di bahagian pendidikan menengah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 9:22 PM