MICHAEL Chong (dua kanan) dihubungi lelaki tidak dikenali menerusi WhatsApp meminta sumbangan kononnya untuk Hari Polis Ke-216. FOTO ihsan MCA
MICHAEL Chong (dua kanan) dihubungi lelaki tidak dikenali menerusi WhatsApp meminta sumbangan kononnya untuk Hari Polis Ke-216. FOTO ihsan MCA
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Kelab Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kehormat dan Bersekutu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur nyaris menjadi mangsa 'scammer' yang menyamar sebagai pegawai kanan polis.

Penasihatnya, Datuk Seri Michael Chong berkata, beliau dihubungi lelaki tidak dikenali menerusi WhatsApp pada Selasa lalu meminta sumbangan kononnya untuk Hari Polis Ke-216.

Menurutnya, lelaki terbabit menghantar nota suara memperkenalkan diri sebagai 'Tuan Zamri' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan meminta beliau menghubungi kembali.

"Gaya percakapan lelaki itu macam pegawai polis. Dia minta sumbangan hari polis jadi pada mulanya saya bersetuju nak berikan RM1,000.

"Kemudian dia hantar surat rasmi kononya dari IPK dan beberapa slip bank membuktikan orang lain turut menyumbang… slip bank itu dihantar menerusi WhatsApp berjumlah lingkungan RM500 ke RM3,000.

"Bendahari kami mensyaki ia satu penipuan kerana individu terbabit minta pindahkan wang ke dalam akaun sebuah syarikat malah sambutan hari polis pun dah lepas," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Susulan itu, pihaknya terus menghubungi pihak IPK Selangor bagi mendapatkan pengesahan berhubung pegawai bernama Tuan Zamri berkenaan dan terkejut apabila mendapati individu terbabit tidak wujud.

Katanya, hasil pencarian dalam talian mendapati, akaun bank diberikan 'scammer' terbabit merupakan sebuah syarikat menjual mainan.

"Mula-mula saya beranggapan tidak mengapalah sumbangan kepada polis lagipun RM1,000 sahaja dan gambar profil WhatsApp terbabit juga seorang pegawai polis berpangkat ACP.

"Mujur kami membuat sedikit penyelidikan latar belakang. Tetapi kami syaki ramai lagi jadi mangsa berdasarkan bank slip yang dia kongsikan kepada saya," katanya.

Michael berkata, beliau cuba menyoal lelaki terbabit namun suspek memadam semua rekod perbualan mereka di WhatsApp.

"Ada lebih kurang 70 mesej dia cuba pada semua tapi nasib baik saya bertindak pantas kongsi dan simpan mesej-mesej itu.

"Berdasarkan slip bank yang dia kongsi itu, kami syak mereka mahu mempergunakan nama saya dan kelab untuk menipu mangsa lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan apa modus operandi penjenayah yang mempergunakan gambar anggota penguat kuasa untuk menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 2:51 PM