Anggota bomba mengangkat mayat mangsa lemas. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa lemas. FOTO ihsan bomba
Recqueal Raimi


LELAKI yang hilang ketika menyeberangi Sungai Kedamaian di Kampung Narinang, Kota Belud, semalam, ditemui lemas pada 7.20 pagi hari ini.

Mayat Balture Goyong, 38, ditemui tersangkut di batu oleh penduduk kampung.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Thomas Bolu berkata, selepas menerima panggilan daripada penduduk, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Mayat ditemui kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Thomas berkata, mangsa dipercayai menyeberang sungai untuk ke tempat kerjanya selepas jambatan gantung di kawasan berkenaan dihanyutkan arus sungai akibat banjir kelmarin.

"Hujan lebat kelmarin menyebabkan air sungai naik. Penduduk tiada pilihan lain selain menyeberangi sungai kerana pembinaan jambatan gantung masih dalam proses baik pulih," katanya.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh ahli keluarga apabila mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja kira-kira 4 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 3:34 PM