Datuk Seri Sulaiman Md Ali meninjau projek menaik taraf Kompleks Air Panas Gadek, hari ini. FOTO Amir Mamat
Datuk Seri Sulaiman Md Ali meninjau projek menaik taraf Kompleks Air Panas Gadek, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Alor Gajah: Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengesahkan tiada rombakan Exco akan dibuat dalam tempoh terdekat susulan keputusan pemilihan beberapa kepemimpinan Umno bahagian, kelmarin.

Beliau berkata, tiada keperluan setakat ini untuk beliau melakukan rombakan meskipun terdapat seorang Exco yang gagal dalam perebutan jawatan Ketua Umno bahagian.

"Kenapa nak rombak, (Exco) yang ada ini buat sahaja kerja seperti biasa, kecuali dia punya prestasi kurang baik, barulah kita boleh rombak.

"Mereka tiada masalah, kerjalah seperti biasa. Yang penting mereka 'perform' dengan portfolio yang diberikan. Buat masa ni belum ada cadangan (merombak Exco)," katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek menaik taraf Kompleks Kolam Air Panas Gadek, di sini, hari ini.

Pada pemilihan Umno kelmarin, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Zaidi Attan gagal dalam cubaan untuk merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Jasin dalam saingan empat penjuru.

Zaidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam menduduki tempat ketiga dengan memperoleh 151 undi berbanding Adun Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendapat 340 undi dan penyandang jawatan terbabit, Datuk Hasan Abd Rahman (194 undi) manakala seorang lagi calon, Datuk Mohd Yusof (21 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 3:10 PM