BOT yang karam. FOTO ihsan APMM
BOT yang karam. FOTO ihsan APMM
Juwan Riduan


Kudat: Seorang tekong warga Indonesia dilaporkan hilang di laut selepas bot lantingan dinaikinya karam, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, pihaknya mengaktifkan Operasi Carilamat selepas menerima aduan tekong bot lantingan yang gagal dihubungi sejak 5 pagi semalam.

Terdahulu, katanya, bot mangsa ditemui karam di perairan Sibogo, Pulau Banggi oleh bot nelayan tempatan kira-kira 9 pagi semalam.

"Operasi Carilamat kemudian diaktifkan 1.45 tengah hari semalam dan mangsa Rijal Idris, 47, dilaporkan berada di lokasi terakhir sekitar Utara Pulau Malawali.

"Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian awal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Boon Chin berkata, bot nelayan di kawasan berkenaan turut membantu dalam operasi.

"Kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor dengan keluasan 61 batu nautika persegi.

"Turut membantu dalam usaha pencarian iaitu sebuah aset daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya.

Sementara itu, pihaknya memohon masyarakat untuk melaporkan sekirannya terdapat maklumat atau menemui sebarang petunjuk kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 12:49 PM