GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT) mendapati pelbagai serangan keselamatan siber meningkat semasa pandemik Covid-19, memfokuskan kepada e-mel pancingan data, laman web, domain penipuan, malware serta sektor dan infrastruktur yang terdedah dalam sektor kesihatan, menurut data yang dikumpul oleh Kaspersky Security Network (KSN).

Kaspersky berkata, data menunjukkan bahawa tahun 2020 merupakan situasi yang mudah untuk penjenayah siber, apabila dunia mula bekerja dan belajar dari rumah, serta kebergantungan yang tinggi kepada sambungan Internet.

Dalam kenyataan hari ini, Pengurus Besar Kaspersky bagi Asia Tenggara Yeo Siang Tiong berkata, usaha berterusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia selepas pelancaran Modul Kesedaran Keselamatan Siber Kebangsaan dan Projek Peningkatan Keselamatan Siber untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta orang ramai kekal sebagai aspek penting untuk menangani ancaman siber yang semakin meningkat di negara ini.

"Satu daripada penyelidikan kami turut menunjukkan bahawa PKS menghargai pelaburan keselamatan siber dengan 36 peratus dijangka mengurangkan bajet pengiklanan berbanding IT atau keselamatan siber.

"Statistik ancaman terkini untuk Malaysia menunjukkan usaha oleh kerajaan, PKS dan orang ramai membuahkan hasil.

"Usaha ini perlu diteruskan untuk menyaksikan Malaysia yang lebih berdaya tahan siber. Kita tidak seharusnya mengambil mudah dengan pertahanan siber kita. Kita perlu terus berhati-hati dan peka," katanya.

Menurut Kaspersky, KSN menunjukkan ancaman web meningkat kepada 48 juta pada 2020 daripada 36 juta pada 2019 dan terus naik pada 2021 kepada 61 juta ancaman web sebelum menurun kepada 37 juta pada 2022.

"Walaupun ancaman web menyerang pengguna Malaysia pada 2020, ancaman tempatan mencatatkan trend penurunan di Malaysia, 54 juta pada 2020, kemudian 35 juta pada 2021 dan kemudian 22 juta pada 2022.

"Ancaman tempatan ialah apabila pengguna diserang oleh penyebaran malware melalui pemacu USB mudah alih dan kaedah luar talian lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 6:02 PM