Kaspersky Lab memperkenalkan versi baru penyelesaian keselamatannya kepada pengguna, Kaspersky Internet Security 2016 (KIS2016) yang dibangunkan khusus untuk melindungi privasi, data, identiti, wang dan peranti itu sendiri.

Penyelesaian itu merangkumi pelbagai teknologi yang ditambah baik memastikan perlindungan ketika melayari Internet menggunakan peranti masing-masing menerusi pelbagai platform seperti Windows, OS X atau Android.

Pengarah Saluran Jualan Kaspersky Lab SEA Jimmy Fong berkata, privasi peribadi menjadi hak individu sama ada di dunia sebenar atau maya.

“Sebab itu kami di Kaspersky Lab terus berusaha untuk menawarkan perlindungan terbaik kepada pengguna seperti fail dan privasi peribadi mereka daripada penjenayah siber.

“Secara semula jadinya, langkah keselamatan ini akan lebih berkesan jika pengguna mematuhi amalan penggunaan Internet yang selamat misalnya melindungi peranti dan akaun dengan kata kunci yang kuat, elakkan memindah turun fail dari sumber yang tidak boleh dipercayai dan imbas komputer daripada ancaman siber secara kerap,” kata Fong.

Berdasarkan kepada rekod agensi keselamatan MyCERT dari Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 6,734 serangan siber dilaporkan di Malaysia.

Kaji selidik Risiko Keselamatan IT Pengguna 2015 pula menunjukkan jumlah pengguna Internet yang bimbang mengenai privasi ‘online’ mereka pula meningkat secara signifikan sejak tahun lalu.

Pengenalan Kaspersky Internet Security 2016 dilihat tepat pada masanya berikutan kajian menunjukkan rakyat Malaysia mengalami masalah ‘amnesia digital’ iaitu tingkah laku manusia yang lebih mempercayai peranti untuk menyimpan maklumat penting dan tidak percaya kepada memori atau kuasa minda mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 8:29 AM