GENG Tanah Wakaf membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Trolak Pekan. FOTO Rosman Shamsudin
GENG Tanah Wakaf membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Trolak Pekan. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin

Trolak: Demi menambah saham akhirat, sekumpulan lelaki yang dikenali Geng Tanah Wakaf (GTW) bergotong royong membersihkan tanah wakaf di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Trolak Pekan, dekat sini.

Kumpulan membabitkan anak watan kampung berkenaan seramai lapan orang berusia antara 31 hingga 54 tahun bergotong royong sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi membersihkan tanah perkuburan terbabit.

Ketuanya, Noorrizam Ishak,54, berkata, GTW mula melakukan kerja amal dengan membersihkan tanah perkuburan sejak lima tahun lalu.

Katanya, sebelum GTW ditubuhkan, tanah perkuburan itu dibersihkan secara bergotong royong oleh penduduk kampung kira-kira setahun sekali.

"Oleh itu, kami mengambil inisiatif menubuhkan GTW yang terdiri penduduk kampung ini untuk menjalankan tanggungjawab bagi membersihkan kawasan tanah perkuburan berkenaan secara sukarela," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Tanah perkuburan yang dikhaskan untuk ahli kariah kampung berkenaan mempunyai keluasan kira-kira 0.8 hektar dan terletak di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara.

Setakat ini, kira-kira 0.4 hektar telah digunakan bagi mengebumikan ahli kariah yang meninggal dunia.

Noorrizam berkata, untuk membersihkan kawasan tanah perkuburan terbabit sudah tentu memerlukan kos termasuklah alatan mesin rumput dan sebagainya.

Katanya, untuk menampung kos berkenaan ia bergantung kepada sumbangan ikhlas orang ramai terutama penduduk di kariah berkenaan.

"Tabung telah diletakkan di salah sebuah gerai makanan di kampung ini dan dari situlah kami menggunakan wang sumbangan orang ramai untuk membiayai kos membersihkan kawasan tanah perkuburan terbabit.

"Sebulan sebanyak dua kali kami akan membersihkan kawasan tanah perkuburan berkenaan dan kadangkala lebih dari itu terutama pada musim hujan.

"Kalau tidak cukup wang daripada tabung terbabit, kami berkongsi keluarkan modal di samping tenaga secara sukarela bagi membersihkan kawasan tanah perkuburan itu," katanya.

KAWASAN tanah perkuburan dibersihkan dua kali sebulan. FOTO Rosman Shamsudin
KAWASAN tanah perkuburan dibersihkan dua kali sebulan. FOTO Rosman Shamsudin

Dia berkata, apa yang dilakukan oleh mereka hanyalah semata-mata untuk berbakti kepada masyarakat setempat, selain menambah saham akhirat sebagai persediaan menuju ke alam kekal abadi.

Katanya, hikmah di sebalik kerja sukarela ini hanya mereka sahaja yang dapat merasainya terutama memberi kesedaran kepada mereka bahawa setiap manusia pengakhiranya adalah di alam barzakh.

Sementara itu, sebagai penasihat GTW, Osman Wajir,72, pula berkata, dia sentiasa memberi sokongan dan kata-kata semangat kepada GTW agar terus menjalankan kerja sukarela berkenaan.

Katanya, walaupun usaha ini tidak menjanjikan sebarang imbuhan namun sudah tentu akan mendapat balasan ganjaran pahala di akhirat nanti.

"Mereka ini boleh dijadikan contoh kepada anak muda di kariah ini dan saya berharap akan lebih ramai lagi turut menyertai kumpulan ini pada masa akan datang.

"Sebagai orang tua, sudah tentu saya berbangga dan berasa gembira kerana di kariah ini masih ada golongan atau penduduk yang prihatin dalam menjalankan kerja sukarela," katanya.

PENASIHAT Geng Tanah Wakaf, Omar Wajir (kanan) bersama imam surau, Mohd Shafie Hamid membersihkan batu nesan. FOTO Rosman Shamsudin
PENASIHAT Geng Tanah Wakaf, Omar Wajir (kanan) bersama imam surau, Mohd Shafie Hamid membersihkan batu nesan. FOTO Rosman Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 7:33 AM