Rosman Shamsudin


Hulu Bernam: Kehadiran Duta EZ Qurban, Abon atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad menceriakan suasana petang di perkarangan Masjid Jama'atul Asma Ul-Husna Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Selangor, dekat sini.

Beliau sempat beramah mesra dengan kaum ibu yang sedang sibuk bergotong-royong menyediakan masakan untuk petugas dan tetamu sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Korban 2022 bersama EZ Qurban di masjid berkenaan, esok.

Rata-rata kaum ibu begitu teruja dapat berjumpa secara lebih dekat dengan pelawak dan pelakon berkenaan kerana sebelum ini hanya melihat di kaca televisyen dan mendengar suara di radio sahaja.

Penduduk Kampung Sri Keledang, Hazizah Nik, 74, dia terkejut dengan kehadiran Abon ketika dia bersama penduduk sedang menyiapkan barang yang bakal dimasak secara bergotong royong.

Katanya, kehadiran Abon sempena program TKHM sudah tentu bakal menceriakan suasana program berkenaan yang akan dihadiri ahli kariah masjid terbabit.

"Inilah kali pertama saya dapat berjumpa dan mengenali pelawak dan pelakon terkenal tanah air secara lebih dekat dan keramahan Abon membuat kami gembira teruja mendengar celotehnya.

"Pelbagai juadah masakan bakal dihidangkan kepada petugas dan tetamu dan petang ini kami perlu menyiapkan barang-barang yang bakal digunakan esok," katanya ketika ditemui, dekat sini.

Sementara itu, golongan muda pula kelihatan sibuk mengupas buah kelapa yang akan dijadikan ramuan masakan oleh tukang masak yang terdiri penduduk kampung sendiri.

Jamalulais Rayani, 35, pula berkata pada tahun ini suasana sambutan Aidiladha lebih meriah jika dibandingkan dengan tahun sebelum ini.

Katanya, program berkenaan sudah tentu bakal memberi manfaat kepada penduduk dan seluruh ahli kariah di masjid terbabit.

ABON (berdiri, tengah) bertemu dengan kaum ibu yang sedang bergotong-royong membuat persiapan bagi menyediakan makanan kepada petugas sempena TKHM Korban 2022. FOTO Rosman Shamsudin.
ABON (berdiri, tengah) bertemu dengan kaum ibu yang sedang bergotong-royong membuat persiapan bagi menyediakan makanan kepada petugas sempena TKHM Korban 2022. FOTO Rosman Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 6:48 PM