Alias Abd Rani


Muar: "Alhamdulillah kami 'bertemu' kembali selepas 35 tahun arwah adik meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya," kata Amid Ramli, 63, ketika urusan pemindahan kubur adiknya susulan berlaku hakisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Baru, Bukit Naning, di sini, hari ini.

Arwah adik Amid, Rahman yang dikebumikan di tanah perkuburan terbabit, antara lima jenazah dipindahkan selepas lokasi asal terhakis sejak sebulan lalu disebabkan hujan lebat serta arus deras dari parit bersebelahan.

Dia yang turut serta ketika proses memindahkan jenazah adiknya yang meninggal dunia pada usia 16 tahun lalu kelihatan tenang sebaik pasukan petugas membawa naik jasad adiknya.

"Saya reda sekurang-kurangnya arwah adik disemadikan di tempat lebih selamat. Semua ketentuan Allah dan tiada siapa boleh jangka kejadian ini (hakisan), boleh berlaku," katanya ketika ditemui.

Proses pemindahan bermula jam 8.30 pagi diketuai wakil Pejabat Kadi Daerah Muar dengan bantuan kariah Kampung Parit Baru dan kampung berdekatan, turut disaksikan waris masing-masing selepas mendapat kebenaran Pejabat Mufti Negeri Johor.

Ia bermula dengan kerja menggali tanah untuk mencari kedudukan sebenar keranda memandangkan sebahagian daripadanya sudah beralih daripada kedudukan asal.

Jenazah pertama dipindahkan pada jam 9.30 pagi sebelum dikapankan semula sebelum dibawa ke kawasan berdekatan untuk dikebumikan.

Semua lima jenazah selamat disemadikan semula dalam satu liang lahad tidak jauh dari lokasi asal.

Pada masa sama, suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan terbabit ketika jenazah diangkat keluar dengan beberapa waris dilihat menitiskan air mata.

Sementara itu, Ketua Kampung Parit Baru, Rosdi Abu berkata, pada mulanya laporan diterima hanya terdapat empat kubur dikenal pasti terjejas tetapi sebenarnya lima.

"Semua sudah selesai, saya ucapkan terima kasih semua pihak terutama Pejabat Kadi Daerah Muar, penduduk sekitar serta waris yang bergotong-royong memudahkan proses pemindahan kubur," katanya.

Amid Ramli ketika hadir menguruskan pemindahan jenazah adiknya. FOTO Alias Abd Rani
Amid Ramli ketika hadir menguruskan pemindahan jenazah adiknya. FOTO Alias Abd Rani

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 3:36 PM