RAZARUDIN dilantik Timbalan Ketua Polis Negara secara kontrak hingga 2025. FOTO Fail NSTP.
RAZARUDIN dilantik Timbalan Ketua Polis Negara secara kontrak hingga 2025. FOTO Fail NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain disambung tempoh perkhidmatan secara kontrak selama dua tahun bermula hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) memperkenan pelantikan secara kontrak Razarudin bermula hari ini hingga 15 Mac 2025.

Razarudin, 60, dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

"Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan itu sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.

"Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, pada tahun 1998 beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor.

"Pada tahun 2000, beliau meneruskan khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras.

"Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan," katanya.

Beliau berkata, selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun di situ.

"Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintendan dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.

"Sekembalinya dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Asisten Komisioner (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman.

"Setelah itu dinaikkan pangkat ke Senior Asisten Komisioner (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 Jenayah Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ," katanya.

Katanya, beliau dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

"Pada bulan September 2020, beliau telah menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan kemudiannya pada Disember 2021, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

"Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 5:17 PM