Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat 12 pegawai kanan polis.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Bukit Aman, mengetuai senarai adalah Timbalan Pengarah (Perancangan Strategi) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd yang dilantik sebagai Ketua Polis Johor dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Datuk Abd Aziz Yusof pula yang sebelum ini memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) dinaikkan pangkat dengan memangku Deputi Komisioner (DCP) dan bertukar sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak manakala Komandan Maktab Teknik PDRM Muar, Senior Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak kini menjawat jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

Timbalan Pengarah III Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad dilantik Komandan Maktab Teknik PDRM Muar yang baru dan tempat beliau akan diambil alih Senior Asisten Komisioner Sahabudin Abd Manan.

Turut dilantik ke jabatan yang sama adalah Senior Asisten Komisioner Nerita Yaacob dengan memangku pangkat yang sama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad dinaikkan pangkat sebagai Ketua Penolong Pengarah Risikan/Operasi/Rekod (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Semua pertukaran dan kenaikan pangkat berkuatkuasa 23 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 3:39 PM