GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran berlaku berikutan kekurangan mendadak dalam rantaian bekalan berikutan cuaca yang tidak menentu.

Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands (PPPMCH), Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, keadaan itu dijangka berterusan menjelang Ramadan dan Aidilfitri akan datang.

"Walaupun kementerian baru-baru ini kata cukup bekalan untuk Ramadan tetapi kami petani-petani di Cameron Highlands menjangkakan masalah kekurangan itu akan berterusan.

"Masalah ini berlaku susulan cuaca buruk dan bencana banjir di Johor baru-baru ini yang menyebabkan banyak tanaman rosak dan kami jangka masalah bekalan ini akan berlarutan hingga dua bulan lagi.

"Walaupun keadaan di sana (Johor) semakin pulih ia masih memakan masa sekurang-kurangnya 60 hari sebelum tanaman baru boleh dituai dan dijual," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Syed Abd Rahman berkata, pihaknya menganggarkan menjangkakan kenaikan harga sayur sehingga 20 ke 30 peratus menjelang Aidilfitri nanti.

Katanya, usaha memulihkan kembali bekalan sayur bergantung kepada tempoh diambil petani terjejas banjir untuk kembali membekalkan komoditi asas itu dalam yang jumlah optimum.

"Sebab itu kami jangkakan harga naik. Sebab macam biasalah 'supply and demand' bila permintaan tinggi tapi stok kurang jadi pemborong naikkan harga.

"Lebih-lebih lagi sayur kegemaran ramai seperti terung, sawi dan timun ditambah lagi dengan musim perayaan nanti, "katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan supaya membawa masuk dari negara jiran beberapa jenis sayur yang mengalami kekurangan bekalan.

Katanya, inisiatif itu diharap mampu untuk menampung kekurangan dalam rantaian bekalan tempatan sekaligus menstabilkan harga sayur-sayuran menjelang musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 4:21 PM