Seorang peniaga menyusun pelbagai jenis sayur-sayuran di gerainya di Jalan Raja Alang. FOTO ASYRAF HAMZAH
Seorang peniaga menyusun pelbagai jenis sayur-sayuran di gerainya di Jalan Raja Alang. FOTO ASYRAF HAMZAH
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan sayur-sayuran bagi pasaran tempatan tidak terjejas susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley menghala ke Cameron Highlands, Pahang.

Perkara ini dimaklumkan KPDNHEP melalui kenyataan media semalam menyatakan pihaknya sudah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta dan menyatakan Jalan Persekutuan FT 059 Jalan Tapah, Cameron Highlands dikenal pasti sebagai laluan alternatif untuk membawa hasil ladang Cameron Highlands dan kawasan sekitarnya ke pusat-pusat pengedaran di seluruh negara.

Menurutnya, pengguna dan peniaga yang menggunakan bahan mentah itu diminta tidak panik dan situasi ini tidak boleh dijadikan alasan oleh peniaga sayur-sayuran untuk menaikkan harga di pasaran.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan Penguat Kuasa KPDNHEP pada 21 September lalu ke atas 685 premis meliputi semua rantaian bekalan iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit, mendapati bekalan sayur-sayuran di pasaran adalah stabil dan mencukupi.

"Kenaikan harga lima jenis sayur seperti dilaporkan media seperti sawi, cili, lada benggala dan beberapa jenis salad adalah kes lokaliti dan tiada kena mengena dengan kejadian tanah runtuh yang

berlaku.

"Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung, Persekutuan Persatuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong. Harga sawi yang naik dan turun bergantung kepada permintaan dan harga akan stabil sekiranya cuaca sudah pulih.

"Peniaga sayur dinasihatkan tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya dan pengguna diminta untuk turut sama memantau serta menyalurkan maklumat dan aduan secara rasmi berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang melalui saluran aduan KPDNHEP.

"Aduan boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317,portal e-aduan.kpdnhep.gov.my

c., pusat panggilan1-800-886-800,[email protected]," katanya.

Media sebelum ini melaporkan berlaku runtuhan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands menyebabkan laluan di Seksyen 43.9 ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 1:58 PM