Suriana akui tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan sayur untuk keperluan rumah. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Suriana akui tidak berdepan masalah mendapatkan bekalan sayur untuk keperluan rumah. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kekurangan bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highlands, Pahang, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan menyebabkan ada pembekal terpaksa mendapatkan bekalan di kawasan lain.

Seorang pembekal di Pasar Borong Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Wai, 28, berkata, pihaknya mendapatkan bekalan sayur dari Kuantan, Pahang dan Johor Bahru, Johor ekoran kekurangan bekalan sayuran berkenaan.

"Sejak Cameron Highlands ditutup disebabkan PKPD, kami kekurangan bekalan terung dan cili.

"Perkara itu juga menyebabkan harga bagi kedua-dua sayuran berkenaan naik dari RM6 kepada RM8 sejak dua hari lalu," katanya ketika ditemui di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Wai berkata, tidak semua harga sayuran meningkat kerana ada di antara sayur yang dibekalkannya diperoleh dari kawasan lain.

"Saya lihat tidak ramai pembeli yang merungut mengenai kenaikan sayuran ini kerana mereka faham kenapa kami jual pada harga tinggi sejak beberapa hari lalu.

"Ada sayur-sayuran masih harga biasa kerana bekalan itu bukan dari Cameron Highlands tetapi diperoleh dari kawasan lain," katanya.

Seorang peniaga sayuran di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor, Norley Azura Ahmad, 52, berkata, terdapat sedikit kenaikan harga beberapa sayuran kerana kesukaran mendapatkan bekalan.

"Contohnya halia yang sebelum ini dijual pada harga RM10 sekilogram naik kepada RM12 sekilogram.

"Selain dari Cameron Highlands, saya juga mendapatkan bekalan daripada pemborong dari Ipoh, manakala bekalan halia pula diimport dari Indonesia," katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Suriana Che Mat, 41, berkata, dia tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan sayur-sayuran kerana masih mudah didapati di kebanyakan tempat.

"Mudah nak cari sayur sekarang kerana banyak tempat yang jual. Dari segi kenaikan harga pula, saya rasa cili yang naik harga sejak beberapa hari ini berbanding sayuran lain.

"Saya sendiri tidak tahu apa sebab harga sayur sekarang naik, namun bagi saya harga sekarang masih dalam keadaan terkawal dan tidak terlalu mahal," katanya ketika ditemui di Pasar Jalan Othman, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan harga sayur-sayuran di beberapa negeri dilaporkan naik selepas hasil pertanian dari tanah tinggi di Cameron Highlands tidak dapat dikeluarkan ekoran pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan bermula semalam hingga 27 Jun ini selepas 29 kes positif Covid-19 dikesan dalam tempoh dua minggu.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan bekalan sayur untuk pasaran dan rangkaian pasar tertentu susulan pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 3:06 PM