Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis Johor merampas 207 kotak mengandungi pelbagai jenis rokok seludup dari negara jiran bernilai lebih RM1.5 juta hasil serbuan di dua kediaman di Taman Johor di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua melakukan serbuan pertama pada jam 10 pagi.

Beliau berkata, menerusi serbuan itu, seramai tiga individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 42 hingga 58 tahun ditahan.

"Dalam serbuan terbabit, polis merampas 81 kotak rokok jenama U2 dan 55 kotak rokok jenama NYX Menthol selain dua kenderaan iaitu jenis Toyota Vellfire dan Perodua Myvi," katanya di sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan pada jam 10.30 pagi di Jalan Sri Pantai, kawasan perumahan sama dan merampas 62 kotak rokok jenama U2 serta dua kotak rokok jenis Re King.

Menurutnya, nilai rampasan semua rokok yang dirampas dalam dua serbuan berkenaan berjumlah RM1,555,848 manakala dua kenderaan itu bernilai RM180,000, keseluruhan rampasan bernilai RM1.7 juta.

Katanya, rampasan rokok putih dan rokok kretek berkenaan adalah yang terbesar di Johor tahun ini.

"Sindiket berkenaan dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau mana yang lebih besar.

"Jika disabit kesalahan, boleh dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 5:07 PM
KAMARUL Zaman (kiri) bersama hasil rampasan rokok di Taman Johor. FOTO Mary Victoria Dass.
KAMARUL Zaman (kiri) bersama hasil rampasan rokok di Taman Johor. FOTO Mary Victoria Dass.