KHIU (dua dari kiri) menunjukkan rokok seludup dari China dalam sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru.
KHIU (dua dari kiri) menunjukkan rokok seludup dari China dalam sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru.
Nurul Amanina Suhaini


KEBANJIRAN pekerja dari China menyaksikan sindiket penyeludupan rokok kini cuba membawa masuk jenama rokok terlaris di republik itu untuk memenuhi permintaan pekerja berkenaan.

Bagaimanapun, helah sindiket yang cuba mengedarkan rokok jenama China itu dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Johor, apabila menahan lori tiga tan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, jam 11.35 malam kelmarin.

Komander PPM Wilayah 2 Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, bertindak atas maklumat risikan berkaitan penyeludupan rokok, anggota operasi melakukan pemantauan dan serbuan menerusi Ops Landai Khas sebelum menahan lori tiga tan bersama rokok bernilai lebih RM645,000.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 128 kotak mengandungi 64,000 karton rokok putih tidak bercukai di belakang lori untuk dijual di sekitar bandar raya dan Taman Ungku Tun Aminah.

“Hasil siasatan, kami percaya rokok ini diseludup dari negara jiran menggunakan jalan darat untuk diedarkan kepada pengguna sasar dipercayai pekerja warga China di sini.

“Kami percaya sindiket ini aktif menyeludup rokok sejak awal tahun dan kami menjalankan siasatan bagaimana rokok ini boleh melepasi pemeriksaan kastam,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah 2, semalam.

Menurutnya, selain merampas rokok pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang juga pemandu termasuk merampas lori bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Paul berkata, harga runcit bagi satu paket rokok dijual sekitar RM7 hingga RM10 selain lori Isuzu disita bernilai RM60,000.

Katanya, pihaknya komited membanteras penyeludupan rokok dan semua jenis jenayah di perairan negara termasuk jenayah rentas sempadan.

“Operasi berterusan akan dilaksanakan PPM di seluruh perairan dan pesisir pantai sejajar dasar kerajaan bagi membanteras pengaliran keluar hasil negara.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan menyalahi undang-undang dan PPM akan mengambil tindakan penguatkuasaan.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Bukit Aman di talian 03-226 632 25 atau PPM Wilayah 2 Johor di talian 07-237 2222,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM8.08 juta nilai rampasan membabitkan 802,957 paket rokok dirampas tahun lalu manakala RM4.98 juta nilai rampasan membabitkan 353,063 paket rokok dirampas sejak awal tahun ini sehingga kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 5:30 AM