PESERTA membersih kubur ulama, Tok Kenali. FOTO Zaman Huri Isa
PESERTA membersih kubur ulama, Tok Kenali. FOTO Zaman Huri Isa
Nor Amalina Alias

LEBIH 120 individu terdiri daripada anak muda dan agensi berkaitan sepakat membersihkan kubur ulama terkenal Kelantan, Allahyarham Tok Kenali pagi tadi.

Gotong-royong yang berlangsung lebih empat jam itu dibuat di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali atau nama sebenarnya, Muhammad Yusuf Ahmad di Kubang Kerian.

Program amal itu dibuat ahli Info Semasa Kubang Kerian (ISKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKNK) dan tiga ahli masjid iaitu Masjid Sultan Ismail Petra, Masjid As-Solihin dan Masjid Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Pengerusi ISKK, Mohamad Afandi Mohamad berkata, program gotong-royong itu bertujuan menaikkan semula sejarah tokoh ulama di negeri ini selain memupuk semangat perpaduan di antara semua pihak.

PROGRAM gotong-royong amal komuniti membersih kubur di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian. FOTO Zaman Huri Isa
PROGRAM gotong-royong amal komuniti membersih kubur di Tanah Perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian. FOTO Zaman Huri Isa

“Lebih-lebih lagi, ia bagi mengelakkan kubur ulama ini menjadi tempat berlakunya perbuatan syirik.

“Kami juga hendak kembalikan tarikan tempat ini sebagai lokasi pelancongan kerana tokoh ini adalah ulama terkenal di nusantara.

“Secara tidak langsung, kami mahu kembalikan semula ingatan masyarakat terhadap Allahyarham dengan menunjukkan lokasi wujudnya kuburnya di sini,” katanya.

Afandi berkata, kubur berkenaan dianggarkan berusia lebih 80 tahun.

BERGAMBAR kenangan setelah selesai gotong-royong. FOTO Zaman Huri Isa
BERGAMBAR kenangan setelah selesai gotong-royong. FOTO Zaman Huri Isa

Katanya, pihaknya berharap lebih ramai golongan muda akan terbabit dalam kerja-kerja kebajikan seperti itu bagi memberi mereka pengetahuan berkenaan sejarah negeri ini.

“Selain gotong-royong, peserta turut diberi penerangan berkenaan sejarah Tok Kenali oleh masyarakat setempat yang mengenalinya untuk menambah pengetahuan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 9:30 PM