Kasthuriraani (kiri) bersama Johari (kanan) hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. FOTO Saifullizan Tamadi
Kasthuriraani (kiri) bersama Johari (kanan) hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi. FOTO Saifullizan Tamadi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini, untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan di Dataran Merdeka, Isnin lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Ahli Parlimen terbabit hadir ke IPD Dang Wangi secara berperingkat bermula 10 pagi tadi.

"Saya percaya lebih ramai Ahli Parlimen akan hadir untuk membantu siasatan perhimpunan itu dalam masa terdekat.

"Kita mahu rekod percakapan perlu lihat kesesuaian dan kelapangan masa Ahli Parlimen terbabit," katanya.

Semalam, enam Ahli Parlimen pembangkang hadir ke IPD Dang Wangi memberi keterangan membabitkan isu sama.

Individu terbabit adalah Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; Ahli Parlimen Lembah Pantai; Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Sementara itu, Johari ketika ditemui media di luar IPD Dang Wangi berkata, proses rakaman keterangan berjalan dengan baik dan profesional.

"Polis ada membacakan hak kami (Johari dan Kasthuri) untuk menjawab atau tidak soalan sepanjang proses rakam percakapan.

"Maka, kami memilih untuk menjawab soalan di mahkamah dan perkara itu memang tidak salah mengikut undang-undang," katanya.

Polis membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka susulan 206 laporan polis diterima di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dipetik berkata, siasatan dibuat Peraturan 9 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (P.U.(A) 293.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Pada Isnin lalu, seramai 107 Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berhimpun di Dataran Merdeka selepas gagal masuk ke Parlimen.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada hari berkenaan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan penilaian risiko semasa dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan penularan jangkitan Covid-19.

Berita berkaitan:


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 4:25 PM