PANTAI Telok Kemang, gambar sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
PANTAI Telok Kemang, gambar sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Musim cuti persekolahan bukan lagi jaminan pelancong memenuhi pusat peranginan daerah ini apabila hampir semua hotel berdepan masalah kekurangan tempahan penginapan.

Perkara itu diakui Pengerusi Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan yang mengaitkan ia dengan isu kewangan dan peningkatan kos sara hidup.

"Keadaan tidak seperti dahulu apabila semua hotel penuh setiap musim cuti persekolahan. Tetapi kini, orang ramai mula berhati-hati soal perbelanjaan.

"Ini semua ada kaitan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Orang ramai pun lebih berjimat cermat apatah lagi bulan Ramadan yang akan menjelang serta pembukaan sesi persekolahan," katanya ditemui di Karnival Negeri Sembilan Food Festival 2023 di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun pelbagai promosi sudah dilakukan, masih tidak banyak tempahan penginapan diterima pihak hotel.

"Pada musim cuti sekolah kali ini, keadaan memang menyedihkan. Kemungkinan ibu bapa banyak memberi fokus terhadap membeli barang persiapan sekolah dan perayaan Aidilfitri," katanya.

Tambahnya, semua pihak harus menerima kenyataan, keadaan tidak seperti dahulu yang mana kehadiran pengunjung amat merosot sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 4:31 PM