RINA MOHD HARUN
RINA MOHD HARUN
BERNAMA

Putrajaya: Perubahan definisi umur warga emas daripada 60 kepada 65 tahun antara cadangan dibentangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara (MPPWEN) di sini hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun itu membangkitkan cadangan mengenai pelaksanaan 'Time Bank Volunteering Scheme Untuk Warga Emas' di Malaysia oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA).

Cadangan lain yang dikemukakan ialah status Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 (PAHFAS) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta kajian dan penggubalan Akta Pemaju Perumahan Persaraan oleh Jabatan Perumahan Negara.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu berkata turut disentuh ialah mengenai sistem pendaftaran dan pemetaan warga emas iaitu Sistem eWe yang dibangunkan oleh JKM, bagi mengenalpasti demografi, kemahiran, kepakaran dan keperluan warga emas.

"Sistem ini juga adalah pangkalan data bagi melihat keperluan bekerja semula dan minat warga emas sebagai persediaan ke arah Negara Tua pada tahun 2030," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Rina dalam kenyataan itu berharap Majlis Penasihat berkenaan terus diperkasa dan menjadi platform kepada kerajaan bagi memenuhi hasrat dalam memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada semua warga emas di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 7:40 PM