YANG di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong. FOTO Bernama
YANG di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan Jusof Udin yang meninggal dunia semalam.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini, menyatakan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

"Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

"Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," demikian menurut hantaran itu.

Allahyarham Jusof, 61, pernah memenangi hatrik pingat perak pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur, 1979 di Jakarta dan 1981 di Manila.

Allahyarham juga pernah mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan Asia New Delhi pada 1982 selain seorang yang aktif dalam Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 12:17 AM