Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Semua pimpinan UMNO diingatkan agar mengenepikan sebarang perancangan bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan parti itu terus utuh dan relevan pada masa depan.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pimpinan UMNO yang ada perlu memainkan peranan turun ke bawah bagi meyakinkan rakyat khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani yang kita bentuk harus dipertahankan, maka pasukan yang akan memimpin UMNO di peringkat Majlis Tertinggi Wanita, Pemuda dan Puteri mesti berada dalam satu pasukan agar kerajaan yang ada tidak akan tergugat dan kita terus berada di dalamnya.

"Walaupun kita tahu bahawa terdapat beberapa perancangan untuk menggugat kepimpinan yang ada untuk meruntuhkan kerajaan yang ada, saya fikir ketepikanlah hasrat itu sebab UMNO harus terus relevan, kuat semula... (pimpinan harus) turun ke bawah supaya rakyat menerima kita semula khususnya di dalam PRN," katanya pada Majlis Pengenalan Calon-Calon, Ahli Majlis Kerja Tertinggi termasuk EXCO Sayap-Sayap Pemilihan UMNO 2023-2026 Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, setiap kepimpinan atasan di peringkat nasional termasuk sayap parti dan pimpinan peringkat negeri kini perlu membina pasukan yang kuat bagi menerobos keluar kemelut yang dihadapi parti.

Katanya pimpinan yang menang dalam pemilihan parti itu nanti mesti menjadi pasukan yang selari dengan kepimpinan pusat supaya tidak berlaku permasalahan dalaman sebagaimana yang pernahdialami ketika parti berada di dalam keadaan yang sukar.

"Saya fikir cukuplah kita berkabilah. Cukuplah saya terlalu meraikan perbezaan pendapat yang akhirnya menyebabkan kita berkelompok.

"Namun dari pengalaman yang ada saya ingin mengucapkan syabas kerana kepimpinan Majlis Tertinggi yang ada (kerana) apabila parti membuat keputusan maka kepimpinan dalam Majlis Tertinggi, Wanita atau Pemuda dan Puteri mematuhi sepenuhnya keputusan yang dibuat oleh parti.

"Semangat inilah yang harus ada dan saya harap kepimpinan yang akan kita pilih juga mempunyai nilai nilai yang telah saya sebut tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 4:40 PM
AHMAD Zahid (dua kanan) bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga kanan) pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat negeri Kedah dan Perlis. FOTO Luqman Hakim Zubir
AHMAD Zahid (dua kanan) bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga kanan) pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pemilihan UMNO 2023-2026 peringkat negeri Kedah dan Perlis. FOTO Luqman Hakim Zubir