Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung permohonan mana-mana parti untuk menyertai gabungan mereka.

Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa permohonan berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

"Mesyuarat akan diadakan dalam jangka masa terdekat namun tarikh masih belum diketahui bagi memutuskan mana-mana parti yang memohon menyertai PN.

"Sebenarnya ada dua permohonan iaitu daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) untuk menyertai PN," katanya selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama di Jalan Kebun Sultan, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, itu menunjukkan PN menarik perhatian dan minat yang bukan saja individu dalam kalangan orang biasa, malah parti politik.

"Walaupun kita belum lagi menjadi kerajaan di peringkat persekutuan, tetapi sudah ada sambutan pada parti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Pejuang mengumumkan hasrat menyertai PN.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata, beliau mengutuskan sepucuk surat kepada Muhyiddin untuk memohon agar parti terbabit diterima sebagai komponen PN.

Katanya, keputusan dibuat selepas mereka mencapai kesepakatan melalui Majlis Eksklusif Pusat (MEP) Pejuang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 2:50 PM