MUKHRIZ. FOTO arkib NSTP
MUKHRIZ. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menghantar surat permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam dan turut diberikan kepada Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang dan Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau.

Menurutnya, keputusan membuat permohonan berkenaan telah disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dua hari lalu selepas penelitian semua opsyen gabungan dan kerjasama politik yang ada.

"Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami peroleh daripada Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2.

"Adalah diharapkan kepimpinan PN akan mempertimbangkan permohonan Pejuang dan memberi respons yang positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 14 Januari, Mukhriz mengumumkan Pejuang menarik diri daripada Gerakan Tanah Air dan terbuka untuk berunding dan berbincang dengan mana-mana pihak untuk meneroka kerjasama politik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 1:03 PM