BERNAMA

Kuala Lumpur: Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April, menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul berkata pindaan berkenaan ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis Mesyuarat selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Ini bagi membolehkan beberapa rang undang-undang dan urusan kerajaan dapat dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat. Notis bertulis akan diberikan kepada ahli yang berhormat selepas ini," katanya sebelum sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(2), dengan tertakluk kepada syarat-syarat perenggan (1) Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam penggal itu.

Bagaimanapun, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.

Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini dijadual tamat pada 30 Mac.

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul. FOTO Arkib BERNAMA
YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul. FOTO Arkib BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 11:13 AM