PENIAGA warga asing kembali berniaga di Pasar Borong Selayang. FOTO Fathil Asri
PENIAGA warga asing kembali berniaga di Pasar Borong Selayang. FOTO Fathil Asri
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tidak serik dan tetap meneruskan perniagaan walaupun sudah digempur pihak berkuasa di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Itu situasi selepas tinjauan dijalankan berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur yang mendapati kumpulan warga asing terus menjadikan lokasi itu sebagai lubuk rezeki mereka menjalankan perniagaan haram.

Walaupun Rabu lalu pihak penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu dan menyita barangan perniagaan namun ternyata mereka tidak serik berniaga di sekitar kaki lima bangunan kedai menjadi tumpuan pembeli.

Kelibat peniaga warga asing yang menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan barang basah lebih ramai ketika hujung minggu dari awal pagi.

Di deretan bangunan kedai dua tingkat berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur pula seolah-olah menjadi 'perkampungan' mereka dengan ada antaranya membuka restoran selain turut menjual daging sembelihan secara terbuka hanya di kaki lima bangunan kedai.

Turut menarik perhatian ketika tinjauan dilakukan apabila sebuah van sekolah berwarna kuning di parkir di tepi jalan di mana menjadi tumpuan pembeli yang mencari ayam hidup.

Van itu dibuang kerusi di dalamnya dan ditempatkan ayam hidup untuk dijual kepada pembeli di kawasan terbabit.

Ikan, sotong, udang dan makanan laut lain pula hanya diletakkan dalam besen di tepi kaki lima rumah kedai di situ selain ada menjual sireh.

Seorang peniaga warga Rohingya yang ditemui berkata, dia tiada pilihan kerana tetap perlu bekerja dan menjual sayuran bagi menampung kehidupan.

"Saya tetap perlu bekerja kerana tidak dapat bekerja lain dan hanya ini sumber pendapatan untuk meneruskan hidup.

"Saya tahu ia salah tetapi jika tidak berniaga saya pula hendak makan apa," katanya.

Terdahulu Harian Metro sebelum ini melaporkan beberapa lokasi kumpulan peniaga warga asing diserbu pihak DBKL pada awal pagi Rabu.

DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaannya melakukan serbuan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terhadap aktiviti perniagaan kumpulan peniaga terbabit.

Serbuan dua agensi itu dilakukan di sekitar Jalan Selayang Baru, Pasar Harian Selayang dan sekitar luar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 3:05 PM