FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Amniera Naziera Amran


LEMBAGA Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menyarankan pemandu teksi di negeri ini supaya menyertai perkhidmatan tempahan secara dalam talian.

Pengerusinya, Datuk Raime Unggi berkata, ia boleh dilaksanakan melalui aplikasi mudah alih atau e-hailing bagi mempersiapkan diri berdepan dengan model ekonomi baharu berbanding operasi teksi secara konvensional.

Katanya, ini berikutan generasi akan datang tidak lagi dapat menerima cara lama kerana ramai memilih untuk mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam menerusi aplikasi ketika ini.

"Pemandu yang menyertai e-hailing boleh melihat potensi untuk memperoleh pendapatan lebih melalui sistem berkenaan, selain memudahkan peluang mendapatkan penumpang," katanya kepada media selepas merasmikan Bengkel Transformasi Industri Teksi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah LPKP negeri, Arfian Julian.

Raime berkata, setakat ini belum ada statistik dikumpulkan mengenai jumlah pemandu teksi yang sudah mengamalkan e-hailing di negeri ini, namun menambah jumlah memang masih terlalu rendah.

Sementara itu, bengkel itu dianjurkan bagi mengadakan perbincangan, selain meneliti dan merangka mekanisme serta dasar yang memberi manfaat kepada pengusaha dan pemandu teksi di Sabah.

Raime berkata, pihaknya juga meminta pemandu lebih berhemah semasa memandu, kerana peratusan tertinggi aduan pengguna terhadap perkhidmatan itu adalah berkaitan pemanduan yang berbahaya.

"Ia mencatat peratusan tertinggi iaitu kira-kira 42 peratus jika dibandingkan dengan aduan kadar tambang dan sikap pemandu yang masing-masing mencatat 13 dan 32 peratus," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini 59 peratus lesen teksi dikeluarkan di Sabah adalah di bandar-bandar utama termasuk Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau.

"Setakat ini, 4,422 lesen kelas teksi dikeluarkan di negeri ini manakala 55 peratus daripadanya adalah lesen kelas teksi bajet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 12:26 PM