Keadaan Proton Satria Neo yang hangus 90 peratus dalam kejadian di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Keadaan Proton Satria Neo yang hangus 90 peratus dalam kejadian di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Dalam keadaan panik, saya melihat pemandu kereta bergegas keluar bersama seorang kanak-kanak lelaki disyaki anaknya dari kenderaan yang mulai terbakar," kata Siti Fatimah Ismail.

Siti Fatimah, 30, saksi kepada kejadian kereta terbakar di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini, berkata, sebelum kejadian, dia berada di tempatnya bekerja iaitu sebuah kedai makan berhampiran lokasi kejadian.

Menurutnya, pada jam 10 malam tadi, dia ternampak sebuah kereta jenis Proton Satria Neo dipandu agak laju sebelum dilihat seakan gagal dikawal.

"Saya terdengar pemandunya menekan brek berkali-kali sebelum kereta itu berjaya dihentikan dan api dilihat mulai keluar dari bahagian bawah kenderaan itu.

"Dalam keadaan panik, saya melihat pemandunya sempat keluar bersama seorang kanak-kanak lelaki dan kereta miliknya semakin hangus.

"Saya segera menghubungi balai bomba kerana bimbang berlaku perkara luar jangka sebelum pihak berkuasa tiba tidak lama kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.05 malam dan 10 pegawai serta anggota tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Kebakaran membabitkan kereta jenis Proton Satria Neo dengan kemusnahan sebanyak 90 peratus.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya 40 minit kemudian manakala kedua-dua mangsa juga berjaya diselamatkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 3:14 PM