CIAPAN dimuatnaik seorang lelaki mendakwa terdapat kemalangan di kawasan Bukit Damansara. FOTO Ihsan PDRM.
CIAPAN dimuatnaik seorang lelaki mendakwa terdapat kemalangan di kawasan Bukit Damansara. FOTO Ihsan PDRM.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menafikan dakwaan seorang lelaki tidak dibenarkan membuat laporan polis berhubung kes kemalangan hingga tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pada jam9.58 malam itu, satu ciapan dimuatnaik oleh seorang lelaki yang menggunakan laman sosial 'Twitter' @ManiamMKM mendakwa terdapat satu kemalangan berlaku di kawasan Bukit Damansara.

Menurutnya, pengadu memaklumkan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan di Balai Bukit Damansara dan diminta untuk pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

"Hasil siasatan awal mendapati, Pondok Polis yang dimaksudkan adalah Pondok Polis Komuniti di Bukit Damansara yang ditutup sejak tahun 2010 dan tidak beroperasi lagi.

"Pondok itu diambil alih Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada tahun 2011," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ciapan itu satu fitnah dan polis akan membuat satu laporan berkaitan kes itu.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 11:08 PM