Khairy Jamaluddin. FOTO Aswadi Alias
Khairy Jamaluddin. FOTO Aswadi Alias
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Khairy Jamaluddin mengaku sudah menerima surat pemecatannya dari UMNO yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun bekas Ketua Pemuda UMNO dan bekas Menteri Kesihatan ini mengulangi pendiriannya untuk tidak akan merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung perkara ini.

"Tidak. Saya tak akan muncul (buat rayuan) sebab saya melihat cara dipecat pun tak betul. Sebenarnya, saya tak terima pemecatan saya sebab ia tidak dibuat mengikut proses yang betul.

"Tidak ada surat tunjuk sebab tak pernah dipanggil ke lembaga disiplin untuk beri keterangan dan untuk membela diri saya. Dalam mana-mana organisasi ia adalah perkara biasa.

"Natural justice' (prosedur biasa) telah dinafikan terhadap diri saya. Di mata UMNO saya telah pun dipecat tapi bagi saya tidak, kerana ia tidak mengamalkan natural justice. Saya rasa ini bukan keputusan yang saya iktiraf," katanya.

Menurutnya, dipecat tanpa sebarang peluang untuk membela diri adalah tidak betul.

Menjawab berkenaan pelawaan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menawarkannya bertanding atas tiket parti gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), KJ berterima kasih terhadap tawaran ini.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Peja (Faizal), sahabat baik saya. Dah tentu mana-mana tawaran yang serius seperti yang disebut oleh Peja mesti saya pertimbangkan.

"Ini bukan satu-satunya yang saya terima. Untuk berlaku adil dah tentu saya pertimbangkan. Tapi cuma kesesuaian masa sahaja kerana saya ada banyak benda nak dilakukan.

"Saya sibuk dengan macam-macam inisiatif baru yang saya sedang buat. Jadi saya kena fikir sama ada nak masuk semula politik serta merta atau ambil masa sedikit," katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syor pelbagai pihak terutama kepemimpinan BERSATU supaya Khairy dicalonkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan jika bekas Ketua Pemuda UMNO itu bersetuju bertanding atas tiket PN dan menang pada PRN negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2023 @ 1:26 AM