PEJA terus kunci mulut. FOTO NSTP
PEJA terus kunci mulut. FOTO NSTP
Balqis Jazimah Zahari


HAMPIR seminggu Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengunci mulut mengenai situasi politik dan kedudukan kerajaan negeri Perak, timbul desas-desus mengatakan dia bakal dilantik menganggotai Kabinet.

Beliau yang diketahui umum rapat dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir kini dilihat berpihak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut sumber, Ahmad Faizal atau Peja kini menjadi ‘kingmaker’ atau ‘pencatur utama’ dalam politik di Perak.

Katanya, Muhyiddin sewajarnya perlu ‘membayar’ ketaatan Ahmad Faizal yang sanggup meninggalkan Dr Mahathir bagi menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

“Anda kena ingat Peja ini adalah anak angkat Tun M dan baik dengan Mukhriz, tetapi dalam kes ini dia (Ahmad Faizal) menyokong Muhyiddin.

“Dia (Muhyiddin) kena bayarlah ketaatannya itu, dia (Ahmad Faizal) sanggup meninggalkan Tun M untuk menyokong Muhyiddin menjadi PM, ‘Politics is a game of numbers’, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut sumber, sama ada Perak akan membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN) atau kekal dalam Pakatan Harapan (PH), semuanya terpulang kepada Ahmad Faizal.

“Semuanya sekarang terpulang kepada Peja, dia sahaja yang boleh membuat keputusan. 28 kerusi Muafakat Nasional dan 28 (kerusi) PH serta dua Bersatu dan satu Bebas, yang mana tiga ini ‘pergi’ itu yang akan menjadi Kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, tidak timbul isu membalas jasa atau ketaatan kepada Ahli Parlimen yang menyokong PN.

“Spekulasi (balas jasa) itu, saya pun tidak tahu betul atau tidak, kerana ada juga orang kata dia (Ahmad Faizal) tidak dapat (jawatan).

“Kalau hendak kata balas jasa atau pun tidak, ada juga sekarang (ahli parlimen yang menyokong PN) yang tidak dapat (jawatan),” katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz berkata, barisan Exco masih meneruskan tugasan seperti biasa selagi tiada keputusan rasmi mengenai kedudukan kerajaan negeri.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 5:47 PM