Ahmad Hasbi


Seremban: Tiga lelaki termasuk kontraktor direman tujuh hari untuk siasatan kerana disyaki bersubahat mengemukakan dokumen palsu kepada agensi kerajaan di Muar, Johor bagi mendapatkan kerja pembaikan bernilai RM130,000

Perintah reman sehingga 20 Februari terhadap semua mereka berusia 40 hingga 63 tahun itu dikeluarkan Majistret Noorhafizah Ishak di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, kesemua lelaki itu didakwa bersubahat menggunakan sebuah syarikat bagi mengemukakan dokumen Perakuan Pendaftaran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Sijil Perolehan Kerja Kerajaan CIDB dan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera yang dipercayai mengandungi butiran palsu.

Katanya, dokumen itu diberikan kepada sebuah jabatan kerajaan di Muar, Johor untuk mendapatkan kerja-kerja pembaikan berjumlah kira-kira RM130,000 di daerah itu.

Terdahulu, mereka ditahan semalam, masing-masing di Muar, Johor dan pejabat SPRM Negeri Sembilan ketika hadir memberi keterangan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

TIGA lelaki termasuk kontraktor dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman. FOTO Ihsan SPRM.
TIGA lelaki termasuk kontraktor dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman. FOTO Ihsan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 2:55 PM