Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan denda RM10,000 yang dikenakan Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara terhadap A Sivanesan, tidak menjejaskan kedudukan Exco Kerajaan Negeri Perak itu sebagai wakil rakyat.

Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungkai dan Exco Kerajaan Negeri Perak berkata, ia berdasarkan peruntukan Perkara 148 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, katanya, denda berkenaan bukan hukuman daripada mahkamah, sebaliknya Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam Malaysia (MPM).

"Berdasarkan Perkara 148 Perlembagaan Persekutuan, kelayakan seseorang wakil rakyat terlucut jika dia didapati bersalah dalam kes jenayah hingga dipenjara minimum dua tahun atau didenda melebihi RM2,000.

"Namun sekarang, kes ini (denda RM10,000) diputuskan oleh jawatankuasa disiplin, ia bukan denda diputuskan mahkamah selain ini bukan kes jenayah.

"Kalau ada yang seronok saya akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, bolehlah seronok sementara (sedangkan) kalau saya tidak bayar denda itu pun, tiada apa yang boleh MPM lakukan pada saya, memandangkan saya tidak lagi berkhidmat sebagai peguam dan berhasrat akan sepenuhnya meninggalkan profesyen itu selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media, hari ini.

Sivanesan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu turut dilihat meletakkan lebih 20,000 peguam seluruh negara dalam status 'in-limbo' iaitu tempoh ketidaktentuan untuk berperanan sebagai wakil kepada peguam lain dalam perbicaraan kes yang memerlukan MOB (Mention on Behalf).

Media semalam melaporkan Mahkamah Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 yang dikenakan terhadap Sivanesan kerana salah laku profesional, 13 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam Malaysia dan K Pathmanathan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 1:32 PM