TANG Kah Leong  tekun menyiapkan lukisan digital tempahan pelanggan.
TANG Kah Leong tekun menyiapkan lukisan digital tempahan pelanggan.
Redzuan Muharam


Rawang: Biarpun lukisan kartun dihasilkannya nampak mudah namun karya hasil Tang Kah Leong tetap diterima baik pencinta seni.

Buktinya, Kah Leong, 24, pernah mendapat pulangan sehingga empat angka iaitu RM2,000 sebulan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila lukisan potret dihasilkan dijual di platform dalam talian.

Menariknya, lukisan itu dijual hanya pada harga RM2 bagi lukisan berwarna dan RM1 bagi karya hitam putih.

Berkongsi kisahnya, Kah Leong berkata, melukis adalah minat dan hobinya sejak kecil namun dia melakukannya untuk tujuan suka-suka sahaja.

"Saya bukanlah pandai sangat melukis malah tidak pernah pergi menghadiri kelas formal.

"Lukisan dihasilkan saya lebih kepada karikatur lawak. Tiada siapa yang beri dorongan kerana melukis adalah minat saya sendiri.

"Saya tidak pernah menyangka mampu memperolehi pendapatan sampingan hasil menjual lukisan ini. Namun saya tergerak hati mencuba (menjual) selepas mendapati ramai individu menggunakan platform jual beli dalam talian ketika PKP," katanya semalam.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, percubaannya itu tidak sia-sia apabila ramai pelanggan membuat tempahan untuk membeli lukisannya.

"Boleh dikatakan, saya melukis setiap hari ketika PKP lalu dan cuti semester. Oleh kerana kini terikat dengan kuliah, jadi waktu melukis terpaksa dihadkan dua ke tiga jam sehari.

"Bagaimanapun ada juga segelintir pihak yang tidak senang hati dan mengeluarkan pelbagai komen jelik dengan mendakwa lukisan saya tidak cantik.

"Hakikatnya tidak mudah menghasilkan lukisan ini. Paling cepat saya mengambil masa lima hingga enam minit untuk menghasilkan satu lukisan," katanya yang menghantar hasil lukisan tempahan pelanggan menerusi kiriman e-mel.

Kah Leong berkata, dia akan meneruskan hobi santai itu dan mengambil tempahan lukisan selagi ada individu yang berminat untuk membelinya.

"Saya hargai semua yang membeli (lukisan) kerana wang hasil jualan itu sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan pengajian saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 3:40 PM