TURUT berbakat dalam menghasilkan lukisan dakwat Cina.
TURUT berbakat dalam menghasilkan lukisan dakwat Cina.
Muhamaad Razis Ismail


SEKALI pandang, pasti ramai tidak menyangka gambar kucing yang dipamerkan adalah sebuah lukisan.

Apa tidaknya, lukisan yang dihasilkan Lee Yuen Nee, 32, cukup halus dan teliti seolah-olah kucing sebenar.

Bagaimanapun untuk menghasilkan lukisan seumpama itu tidak mudah kerana menuntut fokus dan ketelitian yang tinggi.

Penulis sendiri terkejut apabila dimaklumkan setiap lukisan yang dihasilkan gadis berasal dari Gombak, Selangor ini mengambil masa sehingga 20 jam untuk disiapkan.

Yuen Nee berkata, minat melukis haiwan bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Katanya, terdahulu, dia aktif mengadakan bengkel lukisan dakwat cina namun terpaksa dihentikan berikutan PKP.

"Apabila terlalu lama berada di rumah, motivasi untuk melukis juga semakin hilang kerana tidak dapat berinteraksi dengan orang yang mempunyai minat sama. Oleh kerana rindukan kucing di pejabat saya ambil keputusan untuk berlatih melukis haiwan itu di rumah.

"Selepas saya memuat naik lukisan itu di media sosial, saya tidak sangka ramai yang memberi maklum balas positif," katanya.

Menurutnya, tempahan pertama yang diterima adalah daripada seorang wanita yang mahu dia melukis kucing milik adiknya yang sudah mati.

"Wanita itu sudah mencari pelukis lain namun semua menolak. Oleh kerana tidak ingin menghampakan permintaan wanita itu, saya ambil keputusan untuk mencabar diri melukis haiwan terbabit.

"Selepas lukisan itu disiapkan dan diberikan kepada wanita itu, saya menerima kiriman video menunjukkan adiknya menangis kegembiraan apabila menerima lukisan kucing kesayangannya itu.

"Kejadian itu benar-benar membuka mata saya bahawa lukisan dapat menggembirakan orang dan saya bertekad untuk lebih serius dalam bidang ini," katanya.

Jelasnya, melukis potret haiwan tidak mudah seperti yang disangka biarpun terdapat gambar diberikan sebagai rujukan.

"Haiwan biasanya suka bergerak dan sukar untuk mendapat gambar yang sempurna. Jadi saya perlu mencari alternatif sendiri untuk melengkapkan lukisan yang diinginkan.

"Proses paling mencabar sudah tentu melukis dan mewarna. Sebagai contoh, untuk bulu seekor haiwan di bahagian kepala sahaja saya mengambil masa sekurang-kurangnya empat hingga lima jam untuk disiapkan kerana perlu mewarna sehingga lima lapisan supaya ia (bulu) nampak tebal dan realisitik. Jika keseluruhan badan, boleh mengambil masa kira-kira 10 ke 15 jam.

LEE bersama lukisan potrait kucing yang dihasilkan.
LEE bersama lukisan potrait kucing yang dihasilkan.

"Bilangan haiwan, latar belakang dan saiz kertas yang digunakan turut mempengaruhi masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan sesebuah lukisan," katanya.

Jelasnya, selain itu dalam menghasilkan lukisan berkualiti, bahan yang digunakan perlu dititik beratkan.

"Saya menggunakan kertas 'pastelmat' berkualiti yang sangat sukar untuk ditemui di negara ini. Untuk permulaan saya terpaksa tempah dari luar negara sebelum menemui di sebuah kedai di Kuala Lumpur.

"Kertas ini agak keras dan mampu bertahan dalam tempoh yang lama selain sesuai untuk menampakkan lukisan lebih realistik," katanya.

Oleh kerana terikat dengan kerja hakikinya di bahagian sumber manusia di sebuah syarikat, dia tidak boleh menerima semua tempahan pada satu-satu masa.

"Ketika hari bekerja, saya hanya dapat melukis dua ke tiga jam sehari sahaja selepas pulang ke rumah. Hanya pada hujung minggu sekiranya tiada urusan saya dapat peruntukan lima hingga 10 jam untuk melukis.

"Sebenarnya saya terima banyak tempahan dari dalam dan luar negara, namun terpaksa menolak kerana kekangan masa serta masalah penghantaran. Saya lebih utamakan pelanggan yang boleh kompromi dari segi masa," katanya.

Katanya, dalam berkarya, kepuasan yang diperoleh bukan terletak kepada wang ringgit semata-mata tapi lebih kepada menggembirakan orang lain.

"Ramai dalam kalangan pelanggan yang membuat tempahan sama ada untuk diri sendiri atau dihadiahkan kepada orang lain sebagai kenangan dengan haiwan peliharaan.

"Melihat kegembiraan pada wajah mereka, membuatkan saya lebih bersemangat dan sedar sebagai pelukis saya mampu menyumbang sesuatu dalam hidup insan lain," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berharap untuk lebih serius dalam bidang seni lukisan potret haiwan peliharaan ini.

"Saya harap banyak lagi tempahan dari luar Lembah Klang dan menembusi pasaran

antarabangsa.

"Ini adalah usaha kecil yang dapat saya sumbangkan melalui bakat dimiliki bukan sahaja untuk menjana pendapatan malah menggembirakan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 7:00 AM